Pelajar SMSTJ doktor pertama masyarakat Orang Asli di NS

Amri Dahdi (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak di kampungnya ketika ditemui di kampung  Orang Asli Batu Peti dekat Rompin, hari ini.GAMBAR/PEMBERITA: SAJIDA ASARULAH KHAN (UTUSAN)

Amri Dahdi (tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak di kampungnya ketika ditemui di kampung Orang Asli Batu Peti dekat Rompin, hari ini.
GAMBAR/PEMBERITA: SAJIDA ASARULAH KHAN (UTUSAN)

JEMPOL 5 Mac – Tidak ada yang lebih menggembirakan buat seorang anak masyarakat Orang Asli dari Kampung Batu Peti dekat sini, apabila cita-citanya untuk bergelar seorang doktor akhirnya tercapai.

Amri Dahdi, 27, merupakan seorang doktor yang pertama untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Ayahnya, Dahdi Kooh, 67, ialah Tok Batin di kampung tersebut manakala ibunya, Leha Pakpot, 67, mengambil upah menganyam rotan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kampus Cheras itu memberitahu, ketika zaman kanak-kanak dia bercita-cita menjadi doktor haiwan namun mula berubah ketika meningkat remaja.

“Saya fikir jika menjadi seorang doktor saya boleh menjaga keluarga dengan baik. Sebagai seorang anak, saya ingin membalas jasa ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan saya.

“Ketika saya bersekolah, ibu terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer dari rumah ke jalan utama untuk menghantar saya menaiki bas. Tengah hari pula, ibu akan datang dan tunggu di simpang utama, walaupun terpaksa berjalan jauh ibu tidak pernah mengeluh kerana mahu anaknya selamat,” jelasnya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu memulakan tugas sebagai doktor pada 2010 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan kini bertugas di Hospital Jempol sejak sembilan bulan lalu.

“Saya tidak pernah malu untuk memberitahu saya adalah anak Orang Asli, malah bangga dengan status itu. Saya gembira apabila ada pihak yang tahu bahawa anak Orang Asli juga boleh berjaya malah ramai adik-beradik yang bertugas di luar kampung kami.

“Tiga kakak saya merupakan guru, seorang kakak anggota polis serta ada abang saya yang menjadi pensyarah dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Jika mahu diimbas kembali, memang banyak kenangan dulu, malah saya pernah rasa kekok ketika mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rompin. Saya tidak pernah berpeluang untuk ke tadika dan terus ke darjah satu,” katanya yang berasal dari suku kaum Semelai.

Amri turut memberitahu, dia mempunyai impian untuk membuka sebuah klinik sendiri di kawasan Jempol dan akan memberi keistimewaan kepada orang kampungnya.

“Ini merupakan antara perancangan jangka masa panjang saya. Jika saya berjaya membuka klinik ini, saya akan memberikan harga istimewa buat masyarakat Orang Asli.

“Saya berharap anak-anak Orang Asli menggunakan kemudahan yang ada pada hari ini untuk menuntut ilmu. Buktikan kepada orang luar bahawa kita juga boleh berjaya dan mampu mengubah nasib keluarga,” tegasnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Boarders Malaysia

Connecting ex-students of boarding schools in Malaysia.

Briged Bestari

Where Best Friends Cheer...Maju Sempurna!

L.E.A.D.S 0509 OFFICIAL WEBSITE

Where Best Friends Cheer...Maju Sempurna!

%d bloggers like this: